Advertise Here

~{*MuJahiDaLQuluB*}~

- Another Blogger Blog's

BERMULA BARAKAH


Saya akur tidak ramai pasangan yang mahu melangkah ke alam rumahtangga dewasa kini, sibuk memikirkan tentang keberkatan pernikahan. Berawal mula dari perhubungan lelaki dan perempuan di dalam tempoh pertunangan, seterusnya persiapan dan penyediaan majlis kenduri perkahwinan yang selari dengan ajaran agama, hingga membawa kepada cara dan nilai hidup yang diamalbudaya di dalam rumahtangga.

Rata-rata, ramai bermula dengan kebimbangan pada memilih jodoh yang sepadan. Yang cantik biarlah sama padan dengan si tampan. Yang berharta biarlah sesuai dengan yang berpangkat dan ternama. Seterusnya, kerisauan itu bertali pula kepada memikirkan belanja untuk perjalanan majlis resepsi yang bakal dilalui. Mereka menginginkan ia berjalan penuh kehebatan, pakaian yang gah berseri, jemputan VVIP dan lain-lain lagi.

Pendek kata, serba serbi ingin melebihi majlis perkahwinan pasangan lain sebelum ini. Jika boleh, biarlah pengalaman menjadi raja sehari ini, adalah unik dan tersendiri. Maka lahirlah pelbagai tema dan konsep majlis bagi memenuhi impian ini. Antaranya, garden weddings, fairy tales, Arabian Nights dan pelbagai lagi.

Andai barakah di dalam perkahwinan itu diukur dari padanan rupa, harta dan keturunan, juga kehebatan majlis perkahwinan, maka sudah pasti Rasulullah SAW menggesa umatnya berbelanja besar lagi mewah untuk meraih keberkatan yang dijanjikan TUHAN.

Namun, hakikat sebenar keberkatan itu bermula dari bagaimana ikatan serta perhubungan dua jiwa itu disempurnakan. Sebagaimana penegasan rasulullah SAW di dalam sabda baginda yang bermaksud :

“Wanita yang paling agung keberkatannya, adalah yang paling ringan maharnya.” (Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, Al-Baihaqi dengan sanad yang sahih)

Juga sabda baginda yang bermaksud :

“Sesungguhnya, kata Rasulullah SAW : ‘termasuk dari keberuntungan perempuan adalah mudah lamarannya, ringan mas kahwinnya dan subur rahimnya.” ( Hadis riwayat Ahmad)

Selanjutnya baginda juga mengingatkan di dalam sabdanya yang lain, yang bermaksud :

“ Seseorang yang menikahi wanita kerana kedudukannya, Allah akan menambahinya kehinaan, yang menikahinya kerana kekayaannya, Allah hanya akan memberinya kefakiran, yang menikahinya kerana nama besar keturunannya, Allah justeru akan menambahkan ke atasnya kerendahan. Namun, lelaki yang menikahi wanita hanya kerana menjaga pandangan mata dan memelihara nafsunya atau untuk mempererat hubungan kasih sayang (silaturrahmi), maka Allah akan memberkati lelaki itu dan memberi keberkatan yang sama kepada wanita itu sepanjang ikatan pernikahannya.” ( Hadis riwayat at Tabarani )

Untuk itu, sewajarnya, bukan rupa, harta,keturunan dan kehebatan majlis resepsi yang dikejar, tetapi kelangsungan jalinan yang dihiasi ketaqwaan dan keimanan itu yang harus diusahakan. Mewah dan gah tetapi menyalahi syari’at ALLAH, tidak akan menghadirkan barakah, bahkan menempah murka ALLAH SWT semata. Na’uzubillah min zaalik.

RUMAHTANGGA YANG BARAKAH

“Abang, apa kayu ukur pada keberkatan dalam sesebuah rumahtangga? Adakah rasa bahagia hanya bila tiada masalah? Kalau rumahtangga yang bermasalah, adakah itu bermakna tiada keberkatan di dalamnya?” Suatu ketika saya cuba bersoal jawab dengan suami.

“Tak semestinya…” Ringkas jawapan suami.

“Macam mana pula tu…ada masalah tapi masih barakah?” Saya menyoal semula.

“Ada masalah atau tidak bukan penentu keberkatan dalam rumahtangga. Tapi, tanda arasnya ialah sejauh mana ajaran agama digunapakai oleh pasangan suami isteri dalam menghadapi cabaran dan dugaan yang melanda. Jika masalah yang hadir menghampirkan mereka kepada pelaksanaan hak dan tanggungjawab terhadap agama, ia tanda berkat. Sungguhpun begitu, jika masalah yang berlaku itu sehingga meruntuhkan sebuah rumahtangga yang terhalang dari pelaksanaan tanggungjwab agama, itu adalah masalah yang membawa berkat juga..seperti firman Allah, “bala yang membawa kebaikan” Suami membalas dengan merujuk kepada firman Allah dalam surah al-Anfaal ayat 17.

“Yelah bang…rumahtangga Nabi pun ada cubaan dan dugaannya, inikan pula rumahtangga manusia biasa. “ Saya mencelah. Suami menganggukkan kepala, mengiyakan kata-kata saya.

“Sebab itu walaupun faham memahami, kepercayaan, cinta dan kasih sayang itu merupakan keperluan dalam perkahwinan, namun tidak boleh tidak, ia mesti diikat dengan iman dan taqwa kepada ALLAH SWT. Kalau tak, maka jadilah nilai faham, percaya, kasih dan cinta itu rapuh dan mudah gugur bila digoncang ujian. Kasih sayang yang lahir bukan kerana ALLAH, sehingga jika pasangan melanggar suruhan agama pun didiamkan sahaja. Rumahtangga yang begini, bukan berkat yang dapat, sebaliknya laknat dan murka ALLAH kerana mengingkari ajaran-NYA.” Suami mengingatkan. Saya hanya tunduk membenarkan.

Saya menginsafi, perkara penting yang menentukan barakah atau tidak di dalam sesebuah perkahwinan ialah komitmen suami isteri. Ke mana hala tuju rumahtangga mereka mahu dibawa. Setiap perkara yang wujud di dalam rumahtangga harus menjadi sumber yang menghampirkan ahli-ahli di dalamnya kepada Yang Maha Berkuasa. Bukan persoalan mahal atau murah, bagus atau tidak tetapi apakah ia dapat atau tidak dipertanggungjawabkan di sisi ALLAH kelak.

Baik harta, suasana di dalam rumah, perhiasan yang digunapakai, bahkan dalam mengalunkan lagu di rumah juga biarlah sesuai dengan apa yang disukai ALLAH SWT. Ringkasnya, rumahtangga yang wujud itu adalah rumah yang berorientasikan ALLAH, demi mengharap cinta, rahmat dan keredaan-NYA.

Semoga dengan aliran reda-NYA itu, ia akan berubah menjadi limpahan barakah yang dapat pula dinikmati oleh orang lain di sekitar mereka.



 Kayu ukur pada sebuah keberkatan di

dalam perkahwinan itu adalah pada memaknakan setiap nikmat kurniaan ALLAH SWT

itu, baik ia harta, anak pinak dan jawatan sebagai usaha-usaha kebaikan dan

kebajikan untuk meningkatkan iman dan taqwa pada diri penghuninya.


0 comments:

Post a Comment