Apabila menyebut soal cinta, selalu orang merujuk kepada lelaki dan wanita yang sedang dilamun cinta. Bahkan kebanyakan orang bertanggapan negatif terhadap cinta. Kononnya cinta membawa kepada gejala dosa dan maksiat. Adakah tanggapan itu benar?
Realitinya, orang yang bercinta dalam kalangan lelaki dan wanita tidak menghasilkan kebahagiaan sehingga ke akhir hayat. Hanya sedikit sahaja orang yang bercinta membawa kepada kebahagiaan yang hakiki. Jurang kedua-dua ini menunjukkan bahawa cinta itu suci tetapi dicemari oleh keimanan yang lemah.
Cinta seharusnya tidak disempitkan skopnya. Bahkan tidak salah percintaan antara lelaki dengan wanita. Bukankah terdapat sebuah hadith yang menyebut bahawa tujuh golongan yang dilindungan arasy yang salah satunya ialah pasangan yang bercinta, bertemu dan berpisah kerana Allah?
Sebenarnya cinta seseorang sama ada terhadap wanita, keluarga, harta, mahupun negara ada kaitannya dengan Allah dan Rasulullah s.a.w. Walau apapun bentuk cinta seseorang, mestilah kerana Allah dan rasul-Nya. Cintanya kerana kehendak Allah dan mengikut sunnah Rasulullah s.a.w.
Meskipun seseorang lelaki bercinta dengan wanita, dia tetap menghormati larangan Allah lalu dia tidak berdua-duaan. Dia memuliakan wanita tersebut kerana Rasulullah s.a.w. memuliakan wanita lalu tidak mahu merosakkan maruahnya. Mereka menyedari hukuman Allah.
Tetapi semua itu tidak berlaku pada zaman ini, mereka bercinta bukan kerana Allah dan Rasulullah s.a.w. tetapi kerana nafsu dan syaitan. Oleh sebab itulah pada saat kemuncak percintaan mereka akan berlaku perkara yang tidak diingini. Akhirnya mereka terpaksa berkahwin dalam keadaan bakal isterinya hamil.
Hakikatnya mereka bukan bercinta tetapi berniat jahat menzalimi diri sendiri dan menganiaya orang lain. Cinta yang dilafazkan mempunyai kepentingan peribadi. Sedangkan wanita itu tertipu kerana kejujuran cintanya. Tetapi cintanya itu tidak kerana Allah dan rasul-Nya.
Oleh hal yang demikian, umat Islam perlu akur dengan perintah Allah ini kerana sesuatu yang disuruh ada faedahnya. Sebaliknya sesuatu yang dilarang ada manfaatnya kepada mereka. Jika manusia mengikutnya, pasti mereka beroleh ke selamatan dan kebahagiaan.
Begitu juga halnya kalau kita mencintai harta dan segala milik kita di dunia ini, sewajarnya dipelihara sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah dan yang ditunjukkan oleh Rasulullah. Dalam hal ini Allah memerintahkan manusia membayar zakat. Oleh sebab itu, walaupun terlalu cinta pada harta, mereka tetap kena mengeluarkan zakat dan membantu orang yang susah.
Kalau umat Islam dan manusia sejagat dapat meletakkan cinta pada tahap yang disebut di atas, pasti mereka akan taat kepada Allah pada semua perintah Allah. Dalam masa yang sama mereka tidak akan melakukan dosa dan maksiat sama ada sewaktu berada di tempat gelap, apatah lagi jika berada di khalayak ramai.
Orang yang meletakkan cinta di tahap itu bererti mereka benar-benar cinta kepada Allah dan rasul-Nya. Hakikat inilah yang patut difahami oleh umat Islam dan manusia seluruhnya. Inilah dua cinta dalam satu yakni dapat dua cinta dalam satu pakej.
Dalam hal ini jika seseorang itu bercinta tetapi tidak merasai kewujudan Allah lalu membelakangkan hukum Allah, mereka bukanlah orang yang beriman. Inilah barangkali yang dikatakan "cinta itu buta", mereka tidak dapat melihat pencipta alam walaupun dia mengagumi alam itu.
0 comments:
Post a Comment